Monday, August 25, 2014

PERANAN ULAMA YANG DILUPAKAN.......

Peranan ulama dan kemerdekaan negara
1.0  Pendahuluan
Ulama dan pemerintahan negara mempunyai hubungan yang rapat. Perhubungan ini bukan sahaja wujud pada masa kini, malah ia adalah kesinambungan daripada perjuangan bersama semasa pendudukan penjajah di Tanah Melayu. Secara tidak langsung tradisi hubungan ini bukan semata-mata dalam konteks hubungan, tetapi hubungan perjuangan dan sumbangan kedua-dua pihak dalam membangunkan negara.Dalam konteks perjuangan mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu, golongan ini sebenarnya banyak memberi sumbangan seperti, meniupkan semangat menentang kuasa penjajahan serta penubuhan parti-parti politik yang turut sama menyemarakkan semangat kemerdekaan.Justeru itu, penulisan ini akan menumpukan perbincangan berkenaan peranan yang dimainkan ulama dalam konteks memerdekakan negara ini.Dalam perbincangan ini penulis memberikan penumpuan kepada beberapa orang ulama yang penulis pilih berdasarkan kesesuaian zaman serta peranan yang dimainkan oleh mereka. Penulis berharap dengan menyentuh sedikit sebanyak usaha-usaha yang dilakukan, sebahagian mereka dapat memberi gambaran keseluruhan peranan yang dimainkan oleh ulama lain pada ketika itu.”
2.0  ULAMA MERINTIS PROSES KEMERDEKAAN
Sejarah mengakui peranan ulama menjadi pengerak dan perintis menuntut kemerdekaan. Ini ekoran maklumat dan gerakan anti penjajah di Timur Tengah serta terpengaruh dengan idea pemulihan Islam oleh reformis Sayid Jamaluddin al-Afghani dan Sheikh Muhammad Abduh dan pengaruh ini dibawa pulang di tanahair.
Golongan agama menyebarkan dakwah dan meniupkan semangat kemerdekaan dan kesedaran melawan penjajah, melalui penulisan menyeru kesedaran Islam sejagat.
1906 hingga 1942, golongan agama menyedarkan masyarakat Melayu melalui penubuhan sekolah atau madarasah dan pondok di seluruh negara serta melalui wadah surat khabar, majalah, aktiviti penulisan kitab, penterjemahan dalam proses kesedaran orang Melayu menuntut kemerdekaan. Gerakan Pemulihan Islam ini turut menimbulkan kesedaran di kalangan intelektual Melayu ketika itu.
Nama besar seperti ilmuan dan intelektual Islam terkenal Syed Sheikh Al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Pendita Za’ba, Dr Burhanuddin al-Helmy, Haji Abas Taha, Ustaz Abu Bakar Bakir, Dr Zulkifli Mohamad, Haji Ahmad Fuad dan datuk Perdana Menteri sendiri iaitu Haji Abdullah Fahim cukup berpengaruh ketika itu di samping ramai lagi tokoh awal pejuang kemerdekaan di kalangan ahli agama yang merupakan antara golongan terawal memulakan gelombang pertama meniupkan semangat kemerdekaan. Korpus pemikiran yang dibina mereka juga telah melahirkan idea dan fikiran, kritikan serta nasihat bagi memajukan masyarakat Melayu untuk bangkit menuju kejayaan dan membina tamadun umat Islam yang unggul.
Mereka telah menyemarakkan kegiatan penulisan intelektual, aktif membasmi buta huruf, merapatkan jurang perbezaan jantina dalam pendidikan, konsisten mengkaji tabiat masyarakat ketika itu serta menerbitkan pelbagai bahan bacaan yang cukup berkesan, informatif dan berjaya menarik perhatian serta minat masyarakat seperti Pengasuh, Qalam, Neracha, Ikhwan dan sebagainya untuk memahami Islam secara syumul dan tidak berlandaskan bidaah atau karut marut dalam agama. Ketika itu sumber bacaan dan pengajian kuliah di institusi agama menjadi mekanisme dan alternatif sebagai salah satu medium untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Melayu tentang apa yang berlaku di dalam dan luar negara.
Melihat pengaruh golongan agama dan institusi ulama ketika itu semakin mendapat dokongan rakyat, memaksa pihak British cuba menimbulkan pelbagai fitnah dengan melabelkan golongan ini sebagai radikal, penentang dan sebagainya di samping melaksanakan serangan minda dengan mengubah persepsi masyarakat agar menafikan peranan ulama serta menganggap hanya golongan nasionalis dan berhaluan kiri sahaja berperanan dalam kebangkitan kemerdekaan negara. Biarpun begitu, setelah negara mencapai kemerdekaan pada 1957, golongan agama dan institusi yang cukup berpengaruh ini tidak pernah disisih atau dipinggirkan di mana pengorbanan mereka tetap diiktiraf dan fungsi serta peranan mereka dalam memajukan agenda agama, bangsa dan negara terus berlaku sehinggalah ke hari ini.
3.0  Siapa Pejuang Kemerdekaan Yang Sebenarnya?
Bangsa melayulah sebagai perjuang kemerdekaan Tanah Melayu dan membebaskan orang Melayu daripada cengkaman penjajah, fahaman ini seolah-olah sudah terpahat diminda orang-orang Melayu sejak merdekanya Tanah Melayu pada tahun 1957. Orang-orang Melayu menganggap seolah-olah hanya mereka dan pemimpinnya sahaja yang memperjuangkan kebebasan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah.
Tapi kebanyakan daripada kita pasti terkejut pada realiti sebenar yang tidak pernah diperkatakan dan seakan-akan sengaja dilupakan oleh pemerintah sekarang dan dipadamkan daripada fakta sejarah kemerdekaan negara Malaysia. Ulama'lah golongan yang memainkan peranan penting dalam perjuangan memerdekakan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah.
Description: http://2.bp.blogspot.com/-s2kLdeldGBQ/TY8QMR3ExKI/AAAAAAAAA4M/qmbVS8h2SQM/s320/JAMALUDDIN+AL-AFGHANI.jpegDescription: https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiHYko5nWpwcGn8LTC0dAhFyZ7IESmb5peXiKXKUNOV7CMZmFFW-xmLACIp7-HenBKwkBriKWD-obEj5rT7v_LEHeIodgC1bq6LJllYKHpMJ_7JZWWJ_5b7gmm2lwRy6MPI4g1kDdprysyF/s320/Muhammad+abduh.jpg Description: https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi9fHBXdjIZc6HqijZx9mb0Pv6lQCfojPNLSUgk39908kGmunLfa8QZLTHK9EsGg3B2PUv3qP87FwfvIgWgWTco0ChO717d1FVak9sa6qMgPVqqObg_uKEdN7gvD40slrBaXNC3PvGdVfc/s200/3+-+Tuan+Guru+Syaikh+Muhammad+Nur+al-Fathani.jpg
Kenyataan ini seolah dipandang sepi oleh masyarakat Melayu dan orang-orang Malaysia umumnya. Sejak daripada mula lagi Ulama' sebenarnya telah memainkan peranan yang sangat penting dalam pegerakan-pegerakan pembebaskan Tanah Melayu dari cengkaman penjajah dan perjuangan untuk memartabatkan kalimah ALLAH di Tanah Melayu.
Bermula dengan kemunculan tokoh-tokoh reformis Islam lulusan Mekah dan Mesir yang mendapat pengaruh daripada insan yang sepatutnya mendapat gelaran Bapa Kemerdekaan Tanah Melayu iaitu Sheikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain @ Zainal Abidin bin Wan Mustafa Al- Fathani atau lebih dikenali sebagai Sheikh Ahmad Al-Fathani.
Beliau lahir pada 10 April 1856 (5 Sya’aban 1272) di Kampung Sena Janjar, Jambu,Negeri Jerim,Pattani dan wafat pada 14 Jan 1908.Perjuangannya membebaskan Tanah Melayu pada mulanya berpusat di kota Mekah. Disana beliau mengumpul pelajar-pelajar melayu yang berlajar di Timur Tengah khususnya Mesir dan kemudian memperkenalkan mereka kepada tokoh Ulama dan reformis Islam iaitu Sheikh Muhammad Abduh murid kepada Sayid Jamaluddin Al-Afghani yang membawa konsep 'Pan Islamic' yakni islam secara global.
Pencetusan gerakan Islah oleh Syed Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh pada 1882 telah mempengaruhi kebangkitan semangat kebangsaan di Tanah Melayu. Golongan pelajar di Tanah Melayu yang mendapat pendidikan di Timur Tengah, khususnya di Mesir telah membangkitkan semangat kebangsaan. Mereka yang menuntut di Universiti al-Azhar telah terpengaruh dengan idea pemulihan Islam yang dibawa oleh Sayid Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh.
Sekembalinya mereka ke tanah air, mereka telah memulakan Gerakan Islah di Tanah Melayu. Golongan ini dikenali sebagai Kaum Muda.Kemudian lahirlah pejuang2 kemerdekaan yang berjuang dan ada antaranya syahid semata-mata untuk perjuangan Islam,bangsa dan tanah air.
Antara nama-nama yang turut berjuang ialah Muhammad Yusuf Ahmad@
'Tok Kenali', Haji Hassan Munas @ 'Tok Janggut', Dr Bahanuddin Al-Helmy dan ramai lagi sehingga tidak mampu saya nyatakan kerana terlalu ramai Ulama' yang turut berjuang demi Agama dan Tanah Air.
Tapi adalah amatlah malang apabila perjuangan para Ulama' yang bermati-matian itu, secara tiba-tiba sahaja agenda perjuangan itu dirampas oleh pejuang kebangsaan  yang hanya mula bercakap soal kemerdekaan pada tahun 1951.
Anak didik British ini memperoleh manfaat dan dikenang sebagai perjuang ulung kemerdekaan Tanah Melayu. Mereka meminggirkan bahkan melupakan perjuangan para Ulama'. Sejarah hanya tertulis bahawasanya hanya pejuang kebangsaan yang memperjuangkan kemerdekaan seperti yang sudah terpahat difikirkan kita.
4.0  TANAH MELAYU (MALAYSIA) MERDEKA DENGAN PERJUANGAN ULAMA’
Kehadiran tarikh kemerdekaan negara bagi tanah air Malaysia tercinta pada 31 Ogos 2014 ini menandakan seribu satu kisah perjuangan orang terdahulu. Bermakna telah 57 tahun kita berstatus bangsa “merdeka”, lebih kritis sekadar pada nama. Pastinya golongan pasca kemerdekaan adalah antara orang yang paling signifikan dikisahkan dalam perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan British.
Walaubagaimanapun, seolah-olah menidakkan perjuangan tokoh perjuangan para ulama Islam hanya dipandang sepi dalam sambutan atau pengkisahan tokoh-tokoh perjuangan ulama selama ini. Seharusnya kita menyedari bahawa orang Melayu tidak secara tiba-tiba timbul kesedaran pada tahun 1946 dalam menentang gagasan Malayan Union.
Bagaikan diskriminasi kepada jasa para ulama di bumi “negara Islam” ini. Sekadar berkongsi beberapa nama tokoh pejuang kemerdekaan Tanah Melayu sehingga wujudnya bumi berdaulat bernama Malaysia.
Para muallimin turut sama memegang bebanan amanah dalam urusan da’wah daripada Baginda Rasulullah Shollallahu alaihi wassalam. Penjajahan barat yang dibawa dengan pelbagai slogan jelas merupakan satu perangkap kepada gerakan kristianisasi umat Melayu yang masih teraba-raba dalam gelap tanpa cahaya agama pada waktu itu.
Justeru, telah bangkit para alim ulama dengan menyising lengan, berkorban masa bersama keluarga atas tujuan menyedarkan rakyat yang kelabu pandangan kerana tidak disuluhi cahaya pemahaman Islam yang syumul. Bahaya keberadaan penjajah di bumi Tanah Melayu lantas diapikan oleh para ilmuan dalam usaha menolak penjajahan barat.
Jika diteliti dengan hati yang bersih tanpa sangkaan, maka terbukti bahawa ulama adalah golongan “pemula” kepada perjuangan memartabatkan kemerdekaan Tanah Melayu.
Bukan mahu menidakkan golongan nasionalis yang dipasak fahaman songsang sekularisme. Lalu, diminta diangkat sebagai watak utama kepada pembebasan Tanah Melayu daripada belenggu penjarah darah bangsa. Tetapi ini adalah realiti kepada pengkisahan perjuangan para ulama dalam menegakkan sebuah negara yang dikenali Malaysia sehingga kini.
4.1  Almarhum Tokku Paloh
Antara yang boleh diketengahkan ialah Tokku Paloh atau nama sebenarnya Sayid Abdul Rahman bin Muhammad Al-Aidrus adalah ulama tasawwuff yang terlibat secara langsung di dalam pentadbiran dan diplomatik di Terengganu. Tokku Paloh diizinkan oleh ALLAH SWT untuk hidup dan berbakti dalam zaman pemeritahan lapan orang sultan silih berganti; paling lama dan paling kuat pengaruh beliau ialah semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu ke-II.
Kewibawaan Tokku Paloh dibuktikan dengan perkenan Sultan untuk mewakili Baginda dalam sebarang diplomasi bersama British. Selain daripada mandat yang diberikan oleh Sultan untuk Tokku Paloh memerintah kawasana Paloh di Hulu Terengganu.
Tokku Paloh jika ditanggapi secara halus adalah antara pelopor dan penggerak kepada semangat kesedaran di kalangan umat Islam khususnya di Tanah Melayu dalam bengkit menentang penjajahan Inggeris.
Kemunculan tokoh ulama seperti Haji Abdul Rahman Limbong dan pondok-pondok yang terkenal dengan markas-markas penentangan terhadap penjajah seperti di Kampung Lalang, Padang Rengas dan di Gunung Semanggol semua ini membuktikan bahawa pejuang Islam tidak hanya memperjuangkan ideologi yang sempit tetapi lebih daripada itu mereka juga adalah pejuang bangsa dan kemerdekaan (Siddiq Fadzil, Ulama’-Umara’ dan Hala Tuju Kemerdekaan, 2007:3).
4.2  Syeikh Abdullah Fahim
Jika jasa dan sumbangan ulama dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu ditidakkan, bagaimana pula dengan jasa ALLAHYARHAM Abdullah Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Abdullah Fahim. Beliau adalah ulama terkemuka di Tanah Melayu dan seluruh Nusantara antara tahun 1930-an hingga 1950-an.
Jasa datuk kepada Perdana Menteri Malaysia ini adalah antara yang tidak ternilai sehingga kepakaran beliau dalam bidang agama dan astronomi telah diberi pengiktirafan negara. Pada waktu itu, Syeikh Abdullah Ibrahim telah diminta pendapatnya oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Allahyarham Tun Saadon Jubir pada 1955 sejurus sebelum menyertai rombongan Almarhum Tunku Abdul Rahman ke London.
Beliau juga harus diingati adalah tokoh ulama yang begitu lantang menolak fahaman mujassimmah wahabbiah, antara kata-kata Almarhum Syeikh Abdullah Fahim mengenai kesatuan Islam-Melayu dalam menolak fahaman wahabbiah ini ialah;
“ Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang keluar dari mazhab 4 mazhab Ahlis Sunnah wal Jama`ah. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang jati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu. Hukum-hukum mereka itu diambil daripada kitab Hadyur-Rasul yang mukhtasar daripada kitab Hadyul-'Ibad dikarang akan dia oleh Ibnul Qayyim al-Khariji, maka Ibnul Qayyim dan segala kitabnya ditolak oleh ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah”.
Almarhum Tuan Syeikh Abdullah Fahim juga adalah pencipta kepada Takwim Solat pertama bagi umat Islam di Tanah Melayu.
4.3  Syeikh Junid Tola
Selain daripada ulama-ulama tersebut, tidak kurang juga pejuang dalam memartabatkan kemerdekaan Tanah Melayu ialah Syeikh Junid Tola yang merupakan pengasas kepada institusi pondok Madrasah Diniah Padang Rengas. Almarhum Tuan Syeikh berasal daripada Tapanuli dengan menjadikan Madrasah Dinniah sebagai pusat gerakan merdeka.
Di Madrasah inilah lahirnya tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan “dilupakan” seperti Burhanuddin al-Helmi, Ishak Hj. Muhammad, Abu Bakar al-Baqir dan Shamsiah Faqeh.
Pengaruh Syeikh Junid Tola adalah antara pembentuk draf kemerdekaan terawal Tanah Melayu dan diisytihar di Masjid Hurriyyah yang bermakna Masjid Merdeka. Kaum wanita tidak dinafikan akan sumbangan mereka oleh Syeikh Junid Tola dengan turut sama menggalakkan mereka turut berarak berjalan kaki daripada Padang Rengas ke Kuala Kangsar sejauh 10 kilometer. Tidak sebagaimana fatwa wahabbi yang menidakkan hak kaum wanita seperti memandu [oleh ibn baz dalam Fatwal Mar’ah,]m/s:192, darul watan, Riyadh] dan berseluar[oleh ibn baz dalam Majalah Dakwah, bilangan:1493, tahun 1995. m/s:28] .
Ketika itu, perjuangan para ulama dan ada di kalangan mereka adalah syuhada’ telah diisytihar oleh British sebagai golongan kiri. Segala golongan agama dianggap sebagai pemberontak.
Maka, sorakkan para Nasionalis kedengaran dalam mengisi kekosongan peranan Ulama akibat sekatan British sepanjang tahun 1948-1951.
5.0  Kesimpulan
Justeru, sebagai satu usaha mengangkat peranan ulama-ulama di Tanah Melayu, adalah menjadi satu harapan agar generasi muda ini tidak sewenang-wenangnya menidakkan daya upaya para ulama Nusantara khususnya dalam menjadi percikan api perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu. YM Raja Nazrin Shah di dalam titah utama sempena Muzakarrah Ulama di Perak pada bulan Julai tahun 2007, menekankan peranan ulama di dalam pembentukkan negara Malaysia sehingga hari ini. Isu ini telah diangkat berkali-kali oleh YM Raja Nazrin dalam menyedarkan rakyat kepentingan berpaut kepada ulama sebagai satu sandaran kepada Nabi junjungan besar ummah, Sayyidinna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalamm.Wallahu’alam
Rujukan
Ramlah Adam, 2004. Gerakan Radikalisme di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka


No comments: