Rasulullah
S.A.W bersabda: “Bahawasanya jika kamu mengajar seseorang, maka kamu akan
mendapat kebajikan yang lebih berharga daripada dunia dan segala isinya"
Matapelajaran
sejarah sekolah rendah 2014
Pengenalan
Matapelajaran
sejarah akan mula diperkenalkan di semua sekolah rendah seluruh negara pada
tahun 2014.
Timbalan
Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, beberapa penambahan baru
akan dimasukkan pada subjek Kajian Tempatan yang diajar pada murid tahap dua di
sekolah rendah ketika ini.
Menurutnya,
tambahan yang dibuat pada subjek tersebut termasuk aspek kewarganegaraan,
patriotisme dan perlembagaan negara.
''Kita akan
laksanakan subjek Sejarah di sekolah rendah dengan konsep seperti ‘education is
fun’ dengan pendekatan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah dan rombongan
ke Parlimen.
''Kita mahu
jadikan ia sebagai matapelajaran yang mudah difahami dan dihayati murid sekolah
rendah,'' katanya kepada pemberita selepas menutup persidangan perwakilan
dwitahunan Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) ke-22 di sini hari
ini." – Utusan 24.10.2010.
Definisi Sejarah.
Kata Sejarah
(History) yang kita gunakan pada sekarang bersumber daripada perkataan Arab
yaitu Syajaratun yang berarti Pohon. Dari sisi lain, istilah history merupakan
terjemahan dari kata dalam bahasa Yunani yakni Histories yang memberikan arti
atau bermakna suatu penyelidikan ataupun pengkajian.(Muhd. Yusof Ibrahim,
1986.)
Menurut
“Bapak Sejarah” Herodotus, Sejarah ialah satu kajian untuk menceritakan suatu
perputaran jatuh bangunnya seseorang tokoh, masyarakat dan peradaban.(R.
Suntralingam, 1985)
Mengikut
definisi yang diberikan oleh Aristotle, bahwa Sejarah merupakan satu sistem
yang meneliti suatu kejadian sejak awal dan tersusun dalam bentuk kronologi.
Pada masa yang sama, menurut beliau juga Sejarah adalah peristiwa-peristiwa
masa lalu yang mempunyai catatan, rekod-rekod atau bukti-bukti yang konkrit.
Menurut R.
G. Collingwood, Sejarah ialah sebuah bentuk penyelidikan tentang hal-hal yang
telah dilakukan oleh manusia pada masa lampau. Shefer juga berpendapat bahwa
Sejarah adalah peristiwa yang telah lalu dan benar-benar berterjadi. Sementara
itu, Drs. Sidi Gazalba (1966), cuba menggambarkan sejarah sebagai masa lalu
manusia dan seputarnya yang disusun secara ilmiah dan lengkap meliputi urutan
fakta masa tersebut dengan tafsiran dan penjelasan yang memberi pengertian dan
kefahaman tentang apa yang berlaku. Sebagai usaha susulan dalam memahami
sejarah.
Sejarah
dalam artian lain digunakan untuk mengetahui masa lampau berdasarkan
fakta-fakta dan bukti-bukti yang sahih yang berguna bagi manusia dalam
memperkaya pengetahuan agar kehidupan sekarang dan yang akan datang menjadi
lebih cerah. Dengan demikian akan timbul sikap waspada (awareness) dalam diri
semua kelompok masyarakat karena telah mempelajari Sejarah, hal ini dapat
membentuk sikap tersebut terhadap permasalahan yang dihadapi agar
peristiwa-peristiwa yang berlaku pada masa lampau dapat dijadikan pengajaran
yang berguna. Pengertian Sejarah bisa dilihat dari tiga dimensi yaitu
epistomologi (kata akar), metodologi (kaedah sesuatu sejarah itu dipaparkan)
dan filsafat atau pemikiran peristiwa lalu yang dianalisa secara teliti untuk
menentukan apakah ia benar atau tidak. (R. G. Collingwood,1966).
Konsep
Sejarah.
Dari segi
konsepnya, semangat patriotik boleh didefinisikan sebagai semangat cinta akan
tanah air dan sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan negara tercinta. Bill Totten (1998) menjelaskan patriotisme
bermaksud semangat cintakan negara. Menurut beliau tidak ada bangsa, keluarga,
pasukan dan kumpulan dalam apa bentuk yang boleh berfungsi dengan baik
melainkan semua ahli cintakan negara.
Patriotisme ialah "the more
or less concious convictionof the person that his own welfare and of that
signifikant group he belongs to are depended uponthe preservationn of the power
and culture of his society." (Doob, 1964). Secara ringkasnya semangat
patriotisme berkait rapat dengan emosi mempertahankan kedaulatan negara,
institusi politik dan undang-undang negara daripada dicerobohi oleh kuasa
asing. Semangat patriotik dapat membentuk rakyat Malaysia yang bersatu padu dan
harmoni.yang dibina , berdasarkan pengetahuan dan pemahaman aspek-aspek sejarah
negara. Setiap warganegara perlu dibimbing untuk menganalisis dan menilai
fakta-fakta sejarah secara rasional. Natijah daripada pemahaman dan penghayatan
sejarah negara, seluruh rakyat dapat membina kekuatan semangat cinta akan negara.
Tidak dinafikan sistem pendidikan
di negara kita mendukung semangat patriotisme. Buktinya Buku Panduan Pemupukan
Patriotisme Di Sekolah Rendah (Kementerian Pelajaran:1994) telah menetapkan
garis panduan agar nilai-nilai patriotime perlu diterapkan melalui kurikulum
dan ko-kurikulum. Oleh itu, subjek-subjek seperti Bahasa Melayu, Bahasa Cina,
Bahasa Tamil, Pendidikan Moral, Kajian Tempatan dan lain-lain subjek sekolah
rendah perlu menerapkan nilai-nilai patriotisme dalam proses pengajaran dan
pembelajaran melalui kaedah penggabungjalinan. Begitu juga semasa aktiviti ko
kurikulum. Di peringkat sekolah menengah pula, penerapan nilai-nilai
patriotisme dibuat melalui subjek Sejarah, Pendidikan Moral, Geografi
,Pendidikan Islam dan lain-lain. Walaupun demikian, didapati bahawa tahap
penghayatan generasi muda akan semangat patriotisme agak rendah malah amat
mendukacitakan.
Kebelakangan ini sejarah negara
yang merupakan asas kepada pembentukan peradaban bangsa sekaligus kecintaan
yang mendalam kepada negara semakin dilupakan. Negara pernah menyaksikan detik
pahit apabila golongan tertentu di negara kita yang pernah menjual maruah
Malaysia di persada antarabangsa dengan insiden seperti membakar Jalur Gemilang
dan pengubahsuaian lirik lagu ’Negaraku suatu ketika dahulu. Malahan pernah
terpapar di dada- dada akhbar tentang perilaku anak-anak Malaysia yang berada
di luar negara tergamak melempar kata-kata berupa nista yang memburukkan nama
negara. Alpanya mereka bertutur sesuatu yang menjejaskan imej dan nama negara
ibarat “mengumpat” ibunda mereka sendiri, tanah tumpah darah mereka yang banyak
berjasa pada mereka. Generasi muda ini
tidak mengenang jasa ibu pertiwi, seumpama kacang lupakan kulit. Ini membuktikan tipisnya semangat patriotisme
di kalangan generasi muda kini. Generasi muda hari ini seolah telah lupa untuk
memelihara dan mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai etnik dan
kaum seperti yang diwarisi di Malaysia.
Biasanya, golongan remaja yang
tidak menyedari kepentingan sejarah silam tidak memiliki semangat patriotik.
Maka kerajaan telah memutuskan untuk menekankan betapa pentingnya metodologi
subjek sejarah melalui satu transformasi besar supaya pengajaran dan
pembelajarannya menjadi lebih relevan lagi menarik sekali gus berjaya mendorong
pelajar menghayati ilmu yang begitu penting dalam kehidupan manusia ini. Kita
juga lupa tentang kesengsaraan dan perjuangan perit generasi terdahulu kerana
kita tidak pernah mengalaminya. Jika disorot, pasti ramai di antara anak-anak
kita yang tidak mengetahui nama-nama
terbilang seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Dato' Bahaman, Abdul Rahman Limbong,
Dol Said, Rentap dan ramai lagi kerana saban hari mereka disogokkan dengan
cerita-cerita hero khayalan seperti Spiderman atau Superman yang lebih
menyeronokkan dan mengkhayalkan.
Peranan
Sejarah Dalam Pendidikan
Bagi memartabatkan ilmu sejarah di Malaysia, maka pendedahan awal di
peringkat sekolah rendah kepada subjek ini amat penting. Membina bangsa dengan
semangat patriotisme mestilah bermula dari bangku sekolah. Melalui mata
pelajaran Sejarah serta Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang jelas
mendidik dan memberikan ilmu ke arah semangat cinta negara. Usaha sebegini
dapat melahirkan warganegara Malaysia yang peka akan sejarah negara dan
bangsanya dan yang paling penting melahirkan semangat patriotik di peringkat
awal lagi kerana diperingkat ini mereka mudah menerima ilmu, membentuk nilai
diri dan perspektif. Pada masa yang sama sejarah memberi kita peluang menghayati
dan memahami kerelevenan sejarah dalam kehidupan harian dan kehidupan masa
depan. Cara memupuk semangat patriotisme kepada pelajar mestilah melalui
kesedaran dan ilmu sejarah.
Justeru itu, Sejarah yang akan
menjadi mata pelajaran teras dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
mulai 2014 akan menerapkan unsur kewarganegaraan, patriotisme dan perlembagaan
bagi memastikan murid memahami serta menghayati sejarah negara secara mendalam.
Matlamat umum pelaksanaan, KSSR adalah satu transformasi pendidikan, iaitu
proses melakukan satu bentuk perubahan yang holistik kepada kurikulum
persekolahan sedia ada yang melibatkan perubahan bentuk, organisasi, kandungan,
pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan dan pengurusan kurikulum
di sekolah.
Menurut Timbalan Menteri Pelajaran,
Dr Mohd Puad Zarkashi, elemen sejarah yang diajar melalui subjek Kajian
Tempatan di sekolah rendah pada ketika ini kurang menerapkan ketiga-tiga unsur
terbabit. Jadi, kita mahu menekankan perkara ini supaya mata pelajaran Sejarah
dapat dihayati dan difahami oleh semua golongan masyarakat, terutama generasi
muda.
Ketiga-tiga unsur terbabit akan
diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran subjek sejarah yang menggunakan
konsep ‘pendidikan itu menyeronokkan’ membabitkan pendekatan seperti kuiz,
lawatan ke tempat bersejarah, forum, perbahasan, lakonan dan drama bagi
mengelakkan murid sekolah rendah bosan ketika menghadapi pelajaran serta dapat
meningkatkan tahap pembelajaran di sekolah.
Menerusi pengajaran dan pembelajaran mata
pelajaran Sejarah murid-murid sekolah rendah berpeluang untuk meningkatkan
semangat patriotisme. Sejarah dapat menyemaikan bibit-bibit semangat perpaduan
dan patriotik di kalangan pelajar. Ini sekaligus bagi mendedahkan pelajar
kepada sejarah pembangunan negara bermula dari peringkat umur rendah.
Pelbagai unsur patriotisme beleh
diselitkan dalam sukatan Sejarah agar melalui proses pengajaran dan
pembelajaran Sejarah boleh memupuk semangat patriotisme yang tinggi dalam diri
pelajar.
Antara peranan yang dimainkan oleh
subjek sejarah ialah sebagai pemangkin kepada perpaduan. Perpaduan sangat
penting dalam sesebuah negara lebih-lebih lagi negara berbilang kaum. Hal ini demikian kerana perpaduan merupakan
asas pembentukan sebuah negara yang progresif dan maju. Pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa bulat air kerana pembentung, bulan manusia kerana
muafakat. Remaja, sebagai pewaris negara
ini dan mereka memainkan peranan penting untuk terus memupuk semangat
perpaduan. Negara pernah menyaksikan detik apabila perpaduan antara kaum telah
dicemari oleh insiden 13 Mei 1969. Oleh yang demikian, sebagai generasi yang
akan meneruskan legasi agenda perpaduan untuk generasi akan datang maka
wajarlah generasi muda hari ini menghargai dan teruskan mengekalkan bibit
perpaduan yang telah terbina sekian lama.
Pembelajaran mata pelajaran Sejarah
dapat meningkatkan pengetahuan pelajar mengenai asal-usul negara. Sukatan Sejarah yang cukup komprehensif izharnya
dapat memberi kesedaran kepada pelajar bahawa perjuangan ke arah kemerdekaan
suatu ketika dahulu bukanlah sesuatu yang mudah. Dengan kolaborasi dan sinergi
antara kaum Melayu, Cina dan India berkat usahasama Tunku Abdul Rahman, Tan
Cheng Lock dan Tun V.T. Sambathan, barulah kita dapat merasai nikmat
kemerdekaan. Perkara ini sepatutnya perlu diketahui oleh setiap warganegara
kerana “sesiapa yang melupakan akar bangsanya ibarat si Tenggang menderhakai
ibunya”. Sehubungan dengan itu, mata pelajaran Sejarah berperanan sebagai satu
platform yang cukup utuh untuk mengetengahkan kembali warisan sejarah kita
suatu ketika dahulu.
Generasi muda hendaklah menghayati
dan mengambil iktibar daripada sejarah negara.
Hal ini demikian kerana banyak peristiwa yang berlaku dalam sejarah
tanah air dapat dijadikan iktibar supaya sesuatu yang buruk dapat
dihindarkan. Sebagai contoh. tragedi 13
Mei 1969 merupakan satu detik hitam dalam sejarah yang berlaku akibat semangat
perpaduan yang rapuh dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Ahli falsafah George Santayana mengatakan
orang yang melupai sejarah akan melakukan kesilapan yang sama. Oleh itu remaja hari ini hendaklah diterapkan
dengan pengetahuan sejarah secara lebih serius.
Dengan mempelajari, memahami, menghayati, dan mengambil iktibar daripada
sejarah, maka mereka akan menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab,
rasional, dan berhemah tinggi dalam kehidupan di dalam sebuah negara majmuk
seperti Malaysia. Jadi, remaja mestilah
mengambil iktibar daripada sejarah sebagai pemangkin semangat perpaduan yang
jitu.
Penghayatan mata pelajaran Sejarah
membolehkan kita membaca tentang masalah perkauman dan perebutan kuasa yang
berlaku antara pembesar-pembesar pada zaman Kesultanan Melayu Melaka telah membuka pintu kepada penjejahan
imperialis-imperialis Barat selama 446 tahun. Nasib rakyat peribumi tidak
terbela dan mereka hidup merana. Oleh itu,sudah tentu masyarakat pada zaman ini
tidak menginginkan peristiwa pahit tersebut berulang . Mereka akan berdiri,
berfikir dan bertindak sebagai bangsa
Malaysia dan bukannya mengikut etnik masing-masing.
Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang
negara. Begitu besar harapan bangsa pada generasi muda hari ini. Maka adalah
penting bagi mereka mempelajari nilai-nilai patriotisme kerana mereka masih
dalam proses menuju dewasa. Patriotisme
mengajar remaja mendisiplinkan diri. Generasi berdisiplin dan prodiktif adalah kemudi
pembangunan kepimpinan negra pada masa akan datang (Mahathir dan Belia; dalam
Saifuddin:2002). Jadi apabila
nilai-nilai patriotisme disemai dalam jiwa setiap rakyat Malaysia maka kita
tidak mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur asing yang mempamerkan
budaya dan acuan lain luar dari
ciri-ciri Malaysia.
Rata-rata generasi muda hari ini
memiliki kehidupan yang serba senang dan mudah di kalangan generasi muda masa
kini adalah satu faktor yang dikhuatiri mengurangkan semangat patriotisme di
kalangan mereka. Pelbagai kemudahan sosial, kemajuan ekonomi, kehadiran
berbagai-bagai barangan dan perkhidmatan di pasaran, aneka bentuk hiburan,
semua ini boleh melekakan dan mengalpakan generasi muda daripada hal-hal yang
lebih serius seperti soal kedudukan dan kemajuan bangsanya atau peranan dan
tanggungjawabnya terhadap masyarakat dan negara. Era globalisasi dan liberasi
melihatkan ledakan maklumat melalui kemajuan teknologi yang semakin hari
semakin canggih. Apabila remaja selesa menikmati kehidupan sebegini semangat
patriotisme jelas akan menipis.
Seterusnya Sejarah juga mengajar
kita agar mengelakkan diri daripada mementingkan diri dan bersikap
etnosentrisme. Sikap etnosentrisme ialah
sikap yang mementingkan kelompok etnik sendiri.
Sikap seperti ini akan menjejaskan hubungan dengan kaum-kaum lagi di
negara ini. Remaja perlu menghayati dan
mengamalkan Gagasan 1 Malaysia yang menekankan aspek perpaduan secara tuntas ke
arah pembentukan sebuah negara yang progresif.
Remaja perlu menerima segala perbezaan yang wujud antara kaum di negara
ini dengan hati yang terbuka. Contohnya,
remaja tidak harus menyentuh isu-isu sensitif seperti hak istimewa sesuatu kaum
yang sudah termaktub dalam perlembagaan. Natijahnya, negara akan menjadi
mundur, masa depan negara kabur jika generasi pelapis luntur semangat
patriotiknya. Mereka hendaklah
mengamalkan sikap di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. Jika semangat ini dapat diamalkan oleh setiap
remaja, nescaya negara kita akan terhindar daripada sebarang malapetaka akibat
perpaduan yang rapuh.
Subjek Sejarah adalah satu-satunya
saluran untuk menyampaikan warisan negara dan legasi kebudayaan kepada generasi
masa kini.. Melalui subjek Sejarah, para pelajar akan didedahkan kepada
kesusahan dan kepayahan masyarakat lalu berjuang mempertahankan negara.
Contohnya, melalui sejarah, penentangan yang berlaku di Bukit Kepong. Para
anggota polis telah bersusah payah untuk menentang pihak komunis sehingga
sanggup mengorbankan nyawa dan keluarga mereka. Hal ini sedikit sebanyak akan
menimbulkan perasaan cinta yang mendalam para pelajar kepada tanah air sehingga
menyebabkan mereka bersemangat tinggi untuk mengekalkan kemerdekaan yang telah
dikecapi.
Pembelajaran Sejarah bukan setakat
kita memperoleh ilmu tentang sejarah negara kita, malah berupaya memberi
ikhtibar dan pengajaran kepada kita agar menjadikan sejarah lampau yang melanda
negara tidak berulang kembali. Saya masih ingat kata-kata dari guru Sejarah
saya yang menyatakan ‘Sejarah ini ibarat roda’, ia sentiasa berputar. Peristiwa
yang lampau boleh berulang kembali. Jika kita mempunyai ilmu dan pengetahuan
tentang ‘sejarah’ yang telah berlaku, setentunya kita berupaya mengubah
‘sejarah’ yang bakal berlaku. Pengertian ini
bertunjangkan hasrat untuk
mencapai status negara maju. Syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang
kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu
padu. Negara yang bersatu padu hanya dapat dicapai dengan mempunyai rakyat yang
mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.
Mata pelajaran Sejarah juga
membolehkan kita mengetahui kebudayaan dan falsafah hidup rakyat majmuk. Kita
mengetahui asal usul pelbagai kaum di Malaysia. Kita juga sedar bahawa
pembangunan Malaysia hasil daripada pengorbanan tiga kaum utama. Dengan itu
persefahaman yang lebih erat dapat dipupuk. Sikap toleransi antara kaum dapat
diwujudkan. Semangat kekitaan dapat dilahirkan. Prasangka antara kaum dapat
dielakkan. Semua sikap positif ini haruslah dimiliki oleh setiap rakyat
sekiranya gagasan Satu Malaysia mencapai matlamatnya.
Umum mengetahui bahawa subjek
sejarah membolehkan kita membuat penilaian, mengetahui sebab, akibat
dan kepentingan sesuatu peristiwa, memahami sejarah tamadun awal bangsa kita,
melahirkan perasaan jati diri yang tinggi, membentuk keperibadian bangsa,
menghargai jasa pemimpin negara yang telah berkhidmat dan berbakti demi
mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara serta memajukan negara dari segi
ekonomi dan sosial.
Namun tidak dinafikan juga subjek
sejarah juga mengingatkan kita agar tidak mengulangi kesilapan masa lalu,
merangka wawasan masa depan dengan penuh keyakinan, berusaha mempertahankan
kedaulatan negara dan memajukan negara dalam semua bidang malah menjadi panduan
dan iktibar dalam hidup kita pada masa kini dan masa hadapan.
Ini seterusnya mengundang pelbagai
soalan tentang kerelevanan pengajaran dan pembelajaran matapelajaran sejarah
khususnya di peringkat sekolah terutama sekolah rendah.
Antara tujuan subjek sejarah
diperkenalkan di peringkat sekolah adalah sebagai usaha menyemai kefahaman
Sejarah di peringkat awal bertujuan melahirkan generasi baharu yang mampu
menilai dan menghayati sejarah.
Kandungan kurikulum yang dirangka bagi sekolah rendah, menengah rendah
dan menengah atas seharusnya memupuk perasaan taat setia kepada bangsa dan
negara. Fokus juga diberikan kepada pemahaman menyeluruh tentang sejarah negara
yang merangkumi jangka masa lima ratus tahun dan dibuat secara kronologis iaitu
mengikut susunan tahun. Dasar mewajibkan pelajar sekolah memepelajari subjek
sejarah adalah menepati kehendak
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang inginkan perkembangan jasmani, emosi,
rohani dan intelek pelajar secara
seimbang.
Walaupun demikian perlu diingat
generasi muda bukan hanya mempelajari semangat nilai-nilai patriotisme daripada
subjek sejarah yang di ajar secara fomal mengggunakan kurikulum sahaja. Kita
tidak mahu mereka hanya membaca dan menghafal untuk lulus peperiksaan
semata-mata yang akhirnya lupa dengan segera apa yang dihafal. Selain
mewajibkan kelulusan subjek Sejarah di peringkat peperiksaan sekolah, ia juga
perlu dipastikan agar dipelajari dan dihayati sepenuhnya oleh anak-anak kita.
Pembacaan sahaja tidak membuktikan individu tersebut kenal sejarah. Pendidikan
secara tidak formal perlu dijalankan sepanjang masa tanpa henti.
Antaranya peranan ibu bapa .Ibu
bapa boleh mengajak anak-anak ke tempat bersejarah.Contoh tempat bersejarah
yang boleh dilawati ialah Kota 'A' Famosa di Melaka.Ibu bapa juga boleh
menceritakan tentang kejatuhan kerajaan Melaka dan Portugis membina 'A'
Famosa.Ibu bapa juga boleh bercerita kepada anak-anak tentang kisah bagaimana
tokoh zaman dahulu membangunkan negara.
Ibu bapa boleh membelikan anak-anak buku,DVD dan sebagainya yang
mengandungi isu-isu berkaitan patriotisme. Perkara ini sesuai dilakukan kepada
anak-anak sejak kecil kerana "melentur buluh biarlah dari
rebungnya".Jelaslah ibu bapa merupakan orang yang kuat mempengaruhi
anak-anak dengan semangat patriotisme.
Guru juga boleh mengajak
pelajar-pelajar menyertai pelbagai seperti ucapan,pidato,bahas dan
sebagainya.Pada bulan kemerdekaan,guru boleh mengajak pelajar menyertai
sambutan hari kemerdekaan.Antara acara yang boleh dijalankan termasuk nyanyian
lagu patriotik,tayangan filem berkaitan semangat patriotik dan
sebagainya.Jelaslah,pihak sekolah turut sama berperanan untuk menyemai semangat
patriotisme dalam kalangan pelajar sepanjang tahun mereka berada di sekolah.
Media elektronik seperti televisyen
dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik
dalam kalangan masyarakat.Dengan perkataan lain,televisyen dan radio hendaklah
menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik
seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara.Selain
itu,media elektronik itu juga hendaklah menyiarkan filem seperti "Bukit
Kepong","Paloh"dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat
cinta akan negara.Jelaslah bahawa media massa juga seharusnya memainkan peranan
dalam menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat di negara kita. Stesen televisyen juga perlu mengadakan forum
tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada
pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat
kemerdekaan suatu masa dahulu.Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk
semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara
kita.
Begitu juga menerusi Program
Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang membolehkan remaja Malaysia berusia 18 tahun
ditanam dengan semangat patriotik Sementara Biro Tata Negara yang ditubuhkan
pada tahun 1974, dipertanggungjawabkan untuk menyalurkan pendidikan kenegaraan
bagi memupuk semangat patriotisme secara berterusan kepada semua lapisan masyarakat termasuk
anggota komuniti institusi pendidikan, belia, pekerja awam dan swasta, anggota
pertubuhan, serta pemimpin dan pemaju masyarakat.
Kesimpulannya, pengajaran dan
pembelajaran subjek sejarah di sekolah negara penting untuk melahirkan generasi
muda yang tidak buta sejarah, yang tidak mempersoalkan fakta sejarah negara
atau generasi yang menghafal fakta sejarah semata –mata untuk lulus peperiksaan
peringkat sekolah tetapi gagal menghayati, mengambil pengajaran dan teladan apa
yang tersirat daripada peristiwa yang berlaku. Kita perlu melahirkan generasi yang memahami sejarah tempatan
berpaksikan inisiatif untuk meningkatkan semangat cintakan negara dan
perjuangan bangsa, seterusnya dapat memupuk perpaduan dan sinergi kesinambungan
semangat patriotisme generasi muda akan datang. Kita bimbang tanpa pengetahuan
sejarah, generasi muda tidak dapat menghayati apatah lagi mendukung
semangat gagasan 1Malaysia dan
pentingnya perpaduan antara kaum yang hanya dapat dibina berlandaskan
keunggulan jati diri yang dipelajari melalui ilmu sejarah.
Rujukan:
Carr E.H.,
What Is History. Pelicon Book. London. 1965.
Collingwood
R.G. The Ideo Of History. Oxford University Press. 1966.
Dr. Abdul
Murat Mat Jan. Nota Kuliah. Pengantar Sejarah.
Dr. Tengku
Iskandar. Kamus Dewan Edisi Kedua. 1984. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Drs. Sidi
Gazalba. 1966. Pengantar Sejarah Sebagai Ilmu. Jakarta.
Dunia Sukan.
Utusan Melayu (Malaysia). Sdn. Bhd. 1987.
Herbert
Butter Field. 1981. The Rise of Classical Historiography.
Muhd. Yusof
Ibrahim. Ilmu Sejarah, Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Dewan Bahasa dan Pustaka. 1997.
Muhd.Yusof
Ibrahim. Pengertian Sejarah: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 1986.
Shafer R.G
Jones. A Guide To Historical Method. Illineis
R.
Suntharalingam. Pengenalan Kepada Sejarah. Merican &Sons. Sdn. Bhd. Kuala Lumpur. 1985.
Kaedah
Pengajaran Sejarah Sekolah Rendah
1.0
Pengenalan
Sejarah merupakan mata pelajaran
teras yang wajlb dipelajari oleh semua murid secara berterusan selama lima
tahun di sekolah menengah juga di sekolah rendah. Tujuan mata pelajaran ini
diajar di sekolah adalah untuk memupuk dan memperkukuh semangat setia negara
dan jati diri sebagai warganegara Malaysia. Di samping itu, mata pelajaran
Sejarah dapat mewujudkan pembangunan negara bangsa Malaysia, semangat
patriotisme dan kesefahaman antarabangsa.
Dapatan pemeriksaan Jemaah Nazir
Sekolah menunjukkan mata pelajaran Sejarah kurang diminati oleh murid. Hal ini
berkait rapat dengan kaedah pengajaran guru. Pengajaran Sejarah yang berkesan
bergantung kepada sikap, keupayaan, kemahiran dan pengetahuan guru itu sendiri.
Mengikut Brown (1980), pula "Menguasai Kurikulum Sejarah bukanlah
merupakan perkara yang sukar tetapi kelemahan sebenar terletak pada cara
penyampaiannya". Oleh sebab itu, kaedah pengajaran guru tidak berkesan
menjadi punca utama murid kurang berminat terhadap mata pelajaran Sejarah.
Kurikulum Standard Sekolah Rendah
mata pelajaran Sejarah dibina berasaskan enam tunjang iaitu Komunikasi,
Kerohanian, Sikap dan Nilai, Kemanusiaan,Literasi Sains dan Teknologi dan
Keterampilan Diri.Enam tunjang tersebut merupakan domain utama yang menyokong
antara satu sama lain dan disepadukan dengan pemikiran kritis, kreatif dan
inovatif.Kesepaduan ini bertujuan untuk membangunkan modal insan yang seimbang
dan harmonis, berpengetahuan dan berketerampilan.
Guru sejarah juga perlu menggunakan
kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkesan supaya
murid-muridnya berminat untuk mempelajari mata pelajaran sejarah. Antara kaedah
pengajaran yang mampu merangsang minat murid ialah dengan menggunakan kaedah
hubungan dua hala (Child Centered ), melalui kaedah ini guru dan murid saling
berinteraksi di antara satu sama lain dan seterusnya mewujudkan suasana mesra
dan menyediakan keadaan yang kondusif bagi pembelajaran sejarah.Melalui
pendekatan ini, pelajar tidak setakat mendengar penerangan guru tetapi juga
membuat pelbagai aktiviti seperti perbincangan,penyelesaian masalah, melukis
dan lain-lain lagi.
Di samping itu, peranan guru sejarah
lebih bertindak sebagai fasilatator atau pun pemudah cara yang mana wujudnya
integrasi dan tindak balas antara guru dan pelajar.Manakala, guru yang berkesan
dan seterusnya boleh dijadikan sebagai idola pelajar ialah guru yang
menggunakan pendekatan induktif dalam penyampaian pengajarannya.Pendekatan
induktif melibatkan pengajaran yang bermula dari khusus ke umum dan kemudiannya
kesimpulan yang menyeluruh dan umum. Misalnya, teknik TOCFE(Theory of
Constraints For Education) yang mana guru menggunakan aktiviti bercerita untuk
mendedahkan pemahaman dan konflik serta cara watak untuk membuat
keputusan.Dengan cara ini, pelajar dapat terlibat secara aktif dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran.
2.0
Kaedah Pengajaran Sejarah Yang Sesuai.
2.1 Kaedah Perbincangan
Perbincangan merupakan suatu
kaedah serta teknik pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan perbualan
antara pelajar dengan guru dalam bilik darjah.Mak Soon Seng (1993)
Pelajar bebas mengeluarkan dan
mengulas pendapat mengenai sesuatu tajuk
Bertujuan untuk melatih pelajar
melahirkan buah fikiran yang bernas dalam jangka waktu yang ditetapkan.
Melibatkan semua pelajar dalam kelas.Biasanya diketuai oleh guru.
Kaedah perbincangan merupakan suatu
kaedah yang penting dalam proses pengajaran pembelajaran bilik darjah,
terutamanya di peringkat institut pengajian tinggi. Ia merupakan suatu kaedah
yang mana pelajar-pelajar dikehendaki memainan peranan yang aktif dalam
mengulas, menyelesaikan serta membuat kesimpulan mengenai masalah atau isu-isu
kontroversial. Justeru itu kaedah ini dikatakan sehaluan dengan pendekatan
pengajaran yang memusatkan pelajar serta pendekatan induktif.
Meskipun demikian, biasanya
perlaksanaan perbincangan secara bebas dan tradisional dalam kelas tidak begitu
berkesan kerana didapati terdapat pelajar-pelajar yang pasif dan tidak begitu
mahir dalam mengeluarkan pendapat masing-masing. Keadaan ini adalah lebih
ketara jika terdapat pelajar-pelajar
yang bersifat ekstrovert yang selalunya menguasai suasana perbincangan. Selain
daripada itu, perbincangan yang dilakukan secara bebas adalah sukar untuk
dikawal dan biasanya guru dikehendaki memainkan peranan yang lebih utama
daripada yang sepatutnya. Lantaran itu, suatu teknik perbincangan berstruktur
difikirkan boleh mengatasi masalah-masalah yang wujud dalam perbincangan bebas
serta menimbulkan interaksi yang menyeluruh dalam kelas
mengapakah
subjek sejarah kurang diminati?
PENGENALAN
Sejarah berasal daripada
perkataan Greek iaitu inquire yang bermaksud menyiasat dan menyelidik masa lalu
dengan teliti berdasarkan bukti yang diperolehi. Istilah ini lebih awal
digunakan oleh Herodotus dan kemudiannya ia ditukarkan kepada istilah historia yang
bermaksud pengendalian secara naratif berkaitan pembinaan masa lalu.
Pembelajaran sejarah berbeza dengan subjek-subjek mata pelajaran yang lain
kerana ia bukan sekadar berperanan sebagai memindahkan dan mengembangkan ilmu
pengetahuan, tetapi juga mempunyai misi membina akhlak dan jiwa daripada
pengalaman generasi sebelumnya. Kita haruslah memahami bahawa penekanan
terhadap ilmu pengetahuan semata-mata belumlah cukup kerana ia dilihat masih
belum dapat menjadikan seseorang itu mempunyai accountability terhadap diri,
agama dan negara. Oleh kerana itulah kurikulum sejarah di Malaysia menekankan
kepada pemupukan nilai-nlai murni dalam diri pelajar sebagai salah satu fokus
utamanya. Hal ini dijelaskan dalam Sukatan Pelajaran Sejarah Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah berdasarkan kenyataannya seperti berikut:
“Dalam usaha untuk melahirkan
generasi yang dapat memenuhi matlamat dan aspirasi negara, pendekatan
pengajaran dan pembelajaran pendidikan Sejarah perlu menjurus kepada pemupukan
kemahiran berfikir dan kemahiran pemikiran sejarah di kalangan murid di samping
nilai-nilai murni dan semangat patriotik.”
Walaupun pembelajaran sejarah
memainkan peranan penting dalam pemupukan minda, akhlak dan jiwa manusia, namun
ianya tetap berada dalam kondisi yang menyedihkan. Sejarah dianggap mata
pelajaran yang membosankan, tidak memberi manfaat dan sekadar membuang waktu
sahaja. Anhar Gonggong menyatakan bahawa “sejarah dipandang sebahagian orang
sebagai masa lampau, lalu dianggap mata pelajaran yang membuang-buang waktu.”
Mata pelajaran sejarah dipinggirkan dan kesannya, lahirlah generasi muda yang
buta sejarah, yang gagal memahami dan menggunakan sejarah untuk membaiki
kepincangan-kepincangan yang wujud dalam kehidupan mereka.
FAKTOR-FAKTOR MATA PELAJARAN
SEJARAH TIDAK DIMINATI
Terdapat berbagai-bagai faktor
yang menyebabkan munculnya keadaan yang menyedihkan terhadap mata pelajaran
sejarah ini. Salah satu di antaranya ialah kecenderungan tumpah tindih dalam
kurikulum sejarah. Kurikulum sejarah berada ditakuk lama iaitu lebih menyajikan
rekonstruksi peristiwa dan aktiviti manusia masa lampau yang kebanyakannya
bersifat abstrak. Hal ini menyebabkan pembelajaran sejarah di dalam kelas tidak
lebih daripada aktiviti hafal-menghafal atau terbatas kepada pengembangan ingatan
sahaja. Fenomena ini juga telah disuarakan sendiri oleh Prof. Khoo Khay Kim.
Beliau menyifatkan pembelajaran sekadar menghafal dan meluahkannya kembali di
dalam peperiksaan sebagai “burung kakak tua.”
Faktor seterusnya pula melibatkan
kaedah pengajaran guru sejarah. Menjadi kelaziman di kalangan guru kini, mata
pelajaran sejarah diajarkan dengan satu kaedah sama ada “ceramah” atau “ceramah
bervariasi”. Tumpuan pembelajaran lebih berfokuskan kepada hasil iaitu pelajar
dan mahasiswa sebagai objek dan produk semata-mata. Proses pembelajaran
dilupakan. sebenarnya proses inilah yang menentukan hasil atau produk yang akan
dikeluarkan.
Dyah Kulamasari (2005:12)
menyimpulkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya empat komponen yang saling
berkait dan menjadi penyebab munculnya masalah dalam pembelajaran sejarah.
Pertama, tenaga pengajar sejarah yang kebanyakannya miskin wawasan kesejarahan
yang berpunca daripada sifat malas untuk menggali dan mengkaji sumber-sumber
sejarah. Hal ini menyebabkan mereka tidak mampu merangsang dan mengembangkan
daya imaginasi pelajar untuk menimbulkan rasa ingin tahu tentang mata pelajaran
sejarah. Kredibiliti guru sejarah yang rendah ini pastinya akan menghalang
objektif pengajaran sejarah daripada tercapai.
Komponen kedua pula ialah kerana
penggunaan buku-buku sejarah dan media pembelajaran sejarah yang masih
terbatas. Salah satu punca yang menyumbang kepada fenomena tersebut ialah
kerana kebanyakan pengajaran guru terlampau terikat kepada buku teks. Malahan
nota-nota yang diberi juga disalin seratus peratus daripada buku teks. Media
pembelajaran yang diguna pula tetap sama iaitu dengan cara guru membaca buku
teks di hadapan kelas. Walaupun penggunaan buku teks mempunyai beberapa
kelebihan seperti mempunyai ringkasan dan rumusan sejumlah maklumat penting
yang berkaitan dengan sesuatu topik, memudahkan pelajar memperoleh bahan khusus
dalam bentuk yang telah disatukan dan menyediakan sumber maklumat yang seragam.
Walau bagaimanapun, pergantungan yang sepenuhnya kepada buku teks menyebabkan maklumat
dan pengalaman pembelajaran yang ingin diterapkan kepada pelajar-pelajar
menjadi terbatas dan kaku. Selain itu, ia juga menyumbang kepada beberapa
masalah yang lain. Antara masalah tersebut ialah kesukaran murid memahami
istilah yang sukar, abstrak dan di luar pengalaman mereka. Bagi mengatasi
kekurangan dan masalah tersebut, maka guru sejarah perlu bijak menggunakan
media-media dan sumber-sumber sejarah dalam proses P&P tanpa mengetepikan
penggunaan buku teks itu sendiri.
Komponen seterusnya berkait
dengan diri pelajar itu sendiri yang kebanyakannya kurang berminat terhadap
pembelajaran sejarah. Deliman menyatakan bahwa penyebab rendahnya minat belajar
terhadap pembelajaran sejarah adalah kerana “bahan yang disajikan tidak lebih
daripada kisah dari rekonstruksi peristiwa dan aktiviti manusia di masa lampau,
yang bagi siswa sifatnya abstrak.” Anhar Gonggong pula dengan kenyataannya
bahawa “sejarah dipandang sebahagian orang sebagai masa lampau, lalu dianggap
mata pelajaran yang membuang-buang waktu.” Perlulah difahami sesungguhnya minat
mempunyai pengaruh yang besar terhadap aktiviti belajar. Hal ini kerana proses
belajar akan berjalan lancar apabila disertai minat. Oleh sebab itu, guru
memiliki tanggungjawab akademik dan moral untuk mencitrakan mata pelajaran yang
dibinanya menjadi menarik dan diminati siswa.
Komponen terakhir pula ialah
kerana kaedah pembelajaran sejarah pada umumnya kurang membentuk daya
intelektual pelajar. Kebanyakan guru pada masa kini lebih mementingkan ingatan
terhadap tarikh dan fakta serta membuat rumusan tanpa melatih pelajar berfikir
melalui taakulan sejarah. Guru haruslah memahami bahawa sejarah sebenarnya
berperanan membentuk daya intelektual pelajar yang mampu membezakan antara
kebenaran, bias, muslihat dan pandangan yang sempit dengan pendapat yang
matang. Soedjatmoko sudah mengajak para pendidik sejarah agar “buanglah
cara-cara mengajarkan sejarah yang mengutamakan fakta sejarah. Jika studi
sejarah terbatas pada pengetahuan fakta, maka ia akan mematikan segala minat terhadap
sejarah.” Pandangan ini sangat penting diimplementasikan dalam pengajaran
sejarah agar tidak terjadi seperti yang dikhuatirkan oleh Winarno Surachmad
yakni “siswa tidak berhasil tiba pada taraf kemampuan untuk melihat dan
berpikir secara historis, tetapi pengetahuan sejarah mereka berhenti pada dan
terbelenggu oleh sekumpulan data, fakta, dan nama-nama orang.”
CARA MENGATASI (PERANAN GURU)
Masalah kredibiliti guru sejarah
yang rendah dalam komponen masalah yang pertama boleh diatasi ketika temuduga kerja.
Hal ini kerana kurangnya kredibiliti tersebut berkemungkinan berpunca daripada
kurangnya ilmu dan minat dalam diri guru tersebut. Oleh yang demikian,
pemilihan guru-guru untuk mengajar subjek sejarah ini perlulah daripada
kalangan mereka yang mempunyai pengkhususan dalam bidang sejarah dan pilihan
keduanya ialah sains sosial. Guru-guru sejarah yang dilantik perlulah memiliki
intelektual yang luas dan latihan yang baik dalam mata pelajaran sejarah,
mempunyai suka dan minat serta menunjukkan sikap yang baik terhadap pelajar.
Selain itu, perlu juga diadakan kursus-kursus latihan profesional supaya
guru-guru sejarah dapat dilatih dan disedarkan tentang tugas dan peranan mereka
yang sebenarnya. Guru haruslah disedarkan bahawa mereka bukan hanya bertugas dan
berperanan menyampaikan fakta-fakta sejarah sahaja tetapi mereka juga adalah
ahli sejarah, perancang, penyusun persekitaran pembelajaran dan juga sebagai
ahli profesional.
Dari segi pengajaran, guru
sejarah yang baik haruslah menunjukkan kebolehan seperti dapat menentukan
objektif-objektif pengajarannya dengan jelas, mengajar perkara yang sudah
diketahui kepada belum diketahui dan menggalakkan pembelajaran melalui aktiviti
P&P. Selain itu, corak penyampaian guru juga mestilah ringkas, mudah
difahami, dan mengikut peringkat-peringkat logik. Di samping itu juga, guru
juga harus mementingkan rasa kejayaan atau pencapaian, memberi maklum balas,
memberi latihan pengukuhan, dan sentiasa memberi dorongan serta galakan.
Laurence J. Peter menegaskan
bahawa bakal-bakal guru perlu menjadikan diri mereka guru-guru yang baik dan
mereka seharusnya perlu mempunyai sikap yang positif terhadap
pelajar-pelajarnya. Hal ini bagi mewujudkan suasana belajar yang ceria. Selain
itu, guru sejarah juga haruslah mempunyai tahap kesabaran yang tinggi,
memasukkan unsur humor dalam pengajaran, menjadi seorang yang dipercayai oleh
pelajar di samping mempunyai semangat kesungguhan dalam melakukan tugasan.
Dalam pada itu, guru sejarah yang baik juga perlu memiliki personaliti yang
baik dan minat dalam memaju dan mengembangkan diri.
Bentuk pengajaran dengan
menggunakan buku teks semata-mata boleh diatasi dengan cara guru menggunakan
sumber-sumber sejarah seperti dokumen (akhbar, majalah, berbagai jenis surat,
laporan buku catatan dan lain-lain), rekod-rekod (sumber-sumber kesusasteraan
sejarah dan biografi) serta tinggalan-tinggalan berunsurkan sejarah. Selain
itu, guru juga perlu menggabungkan media dengan bahan-bahan pengajarannya. Hal
yang demikikan kerana penggunaan media mampu menjadikn proses P&P sejarah
lebih teratur dan berkesan. Antara kebaikan penggunaan media ialah ia
menyumbang kepada peningkatan minat pelajar, dapat menggalakkan pembacaan
sendiri dan penyelidikan dalam kalangan pelajar serta mampu meningkatkan
pengekalan pembelajaran. Jenis-jenis media atau alat yang sesuaikan digunakan
dalam P&P sejarah ialah alat pandang, alat pandang dengar, alat
dengar,jadual, peta dan glob serta alat bergambar dan grafik.
Masalah sikap kurang positif
terhadap mata pelajaran sejarah dan kaedah pengajaran yang terlalu menumpukan
kepada penghafalan fakta semata-mata boleh diatasi sekiranya guru-guru lebih
kreatif dengan menggunakan pelbagai kaedah dalam sesi pengajarannya. Kaedah
pengajaran sejarah yang dipilh mestilah tidak hanya berhenti pada tingkat
fakta, tetapi harus sampai kepada penganalisisan. Bagi mencapai tujuan ini,
penambahbaikan terhadap kaedah pembelajaran sejarah haruslah dilakukan. Gde
Widja menyatakan bahawa “apabila kita ingin memperbaiki citra yang suram dalam
pelajaran sejarah, perlu antara lain usaha-usaha pembaikan cara-cara mengajar
guru sejarah.” Pandangan Gde Widja tersebut disokong oleh Sanusi dengan
kenyataannya bahwa “agar sejarah dapat berfungsi, kaedah mengajarkan sejarah di
sekolah-sekolah harus dibenihi.” Pembenihan terhadap kaedah pembelajaran
sejarah tidak sekadar menjadi pemicu minat belajar, tetapi juga sebagai salah
satu “instrumen yang berperanan dalam memproses anak didik untuk memperoleh hasil
belajar yang baik.” Antara kaedah yang boleh digunakan ialah kaedah permainan
poker sejarah, kaedah bercerita, lakonan, inkuiri, penyoalan, perbincangan dan
kaedah projek-projek sejarah seperti lawatan dan pameran sejarah. Kaedah-kaedah
ini pastinya mampu menarik minat pelajar dan mencabar daya pemikiran mereka
untuk terus menganalisis, mengkaji dan mendalami ilmu sejarah.
KAEDAH DAN STRATEGI YANG YANG
BOLEH DIAPLIKASKAN DALAM PENGAJARAN SEJARAH
Dalam proses pengajaran dan
pembelajaran di bilik darjah, guru boleh memilih dan menggunakan teknik-teknik
pengajaran yang sesuai. Teknik-teknik itu haruslah berasaskan kajian daripada
bidang-bidang yang ada kaitannya dengan ilmu pendidikan, seperti bidang
psikologi, sosiologi, falsafah pendidikan dan pedagogi. Memang tidak dapat
disangkal bahawa pelbagai teknik boleh diaplikasikan guru dalam proses
pengajaran dan pembelajaran, namun demikian harus diingat bahawa tiada satu
teknik pun yang dianggap sesuai dan dapat digunakan untuk semua keadaan atau
terbaik untuk semua situasi pengajaran. Oleh itu, teknik yang digunakan itu
harus bergantung pada peringkat umur, suasana bilik darjah dan kemampuan serta
minat murid terhadap bahan pengajaran yang akan disampaikan. Tegasnya, seorang
guru itu mestilah bijak memilih teknik-teknik yang akan digunakannya semasa
menyampaikan sesuatu pengajaran.
Kaedah dan teknik pengajaran
ialah cara yang lebih khusus atau spesifik yang digunakan untuk mengajar (atau
menguji) sesuatu kemahiran atau aspek bahasa. Ia boleh wujud dalam bentuk
aktiviti, strategi atau taktik, dan bahan atau alat yang berkaitan dengan
pelajaran tersebut. Menurut Mengantar Simanjuntak dalam buku Kamarudin Hj.
Husin & Siti Hajar Hj. Abd. Aziz pula, teknik adalah satu muslihat atau
strategi atau taktik yang digunakan oleh guru untuk mencapai hasil segera yang
maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu. Berdasarkan
definisi tersebut, dapat diringkaskan bahawa, teknik dan kaedah amat penting
dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian adalah sama dengan
proses P&P sejarah.
Dalam pengajaran sejarah terdapat
beberapa kaedah dan teknik yang boleh diaplikasikan dalam bilik darjah.
Antaranya, kaedah penceritaan, kaedah inkuiri, kaedah perbincangan, kaedah
syarahan, kaedah dapatan, kaedah sokratik, kaedah penerangan, kaedah simulasi,
kaedah kaji peta, kaedah kaji gambar, kaedah kaji dokumen, kaedah tutorial,
kaedah tunjuk cara, kaedah kaji buku teks, kaedah lakonan dan kaedah projek.
Sungguhpun begitu, kaedah-kaedah ini juga boleh membosankan pelajar. Hal ini
demikian kerana, pengajaran dengan hanya menggunakan satu pendekatan dilihat
hanya dapat menarik perhatian pelajar pada awal pengajaran sahaja namun tumpuan
pelajar akan terjejas jika guru terlalu yakin akan kaedah yang digunakan.
Oleh hal yang demikian,
penggabungjalinan antara beberapa kaedah dan strategi pengajaran dan
pembelajaran sejarah adalah perlu bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang
lebih ‘hidup’ dan kondusif dan dalam masa yang sama, matlamat pengajaran
sejarah dapat dicapai. Wan Nik Muda dan Wan Ruslim Ismail dalam artikel mereka
theory of constraints for education menyatakan bahawa penggabungan beberapa
kaedah akan menghasilkan pembelajaran yang berkesan. Untuk itu, mereka telah
mencadangkan satu kaedah pengajaran sejarah berdasarkan theory of Constraints.
Theory of Constraints (TOC) adalah salah satu kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang inovatif daripada perspektif guru dan murid. Teknik ini dapat
“menghidupkan” pengajaran dan pembelajaran sejarah sekaligus meningkatkan minat
murid terhadap mata pelajaran ini. TOC adalah satu teknik pengajaran dan
pembelajaran kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah berdasar pemikiran
yang logik dan sistematik. Teknik ini adalah sebagai satu pendekatan pengajaran
dan pembelajaran yang berpusatkan murid.
Menerusi perlaksanaan teknik TOC
dalam pengajaran dan pembelajaran, murid dan guru berupaya mencapai matlamat
pengajaran dan pembelajaran, menyelesaikan masalah dengan berkesan, membuat
keputusan secara bertanggungjawab, berkomunikasi dengan baik dan memperoleh
pembelajaran sepanjang hayat. Melalui aplikasi teknik TOC juga, tiga kemahiran
dapat digabungjalinkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran iaitu kemahiran
berfikir secara kritis, kemahiran berfikir secara kreatif, kemahiran generik.
Contoh yang boleh kita ambil menerusi penggunaan teknik TOC dalam pendidikan
sejarah adalah sebagaimana berikut; sesi bercerita (pemahaman konflik dan cara
watak membuat keputusan), kajian kes (modifikasi kelakuan dan tingkah laku,
pembelajaran nilai murni dan kerohanian), dan kandungan Huraian Sukatan
Pelajaran (kemahiran berfikir dan perancangan strategik).
Dalam pendidikan terutamanya
pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sejarah, terdapat beberapa teknik
atau aktiviti TOC yang boleh diaplikasikan iaitu, teknik awan (the cloud ),
teknik sebab dan akibat ( logic branch ), teknik penyelesaian masalah (problem
solving ). Teknik awan adalah satu teknik yang mengkehendak pelajar memikirkan
tentang sesuatu kejadian, idea, situasi dan penyelesaian konflik yang
bertentangan kehendak. Konflik yang hendak diselesaikan mungkin berbentuk
konflik internal yang hanya melibatkan satu pihak sahaja atau konflik eksternal
yang melibatkan dua pihak. Dalam usaha menyelesaikan konflik, hanya satu
kehendak sahaja yang dicapai atau diperolehi. Penyelesaian ‘win-win’ diberikan
oleh pelajar berdasarkan pemikiran yang logik dan sistematik agar kedua-dua
keperluan yang menjurus kepada matlamat bersama boleh dicapai.
Teknik sebab dan akibat
menerangkan bagaimana sesuatu tingkah laku, idea atau kejadian mengakibatkan
kesan-kesan berikutnya. Penekanan yang perlu diberikan ketika melaksanakan
teknik sebab dan akibat dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran
sejarah termasuklah, Memahami teks atau maklumat yang diberikan, mengenal pasti
objektif pengajaran dan pembelajaran (what to learn). Menentukan titik tolak
atau permulaan peristiwa (the begining event), mengenalpasti perkara-perkara
penting yang terkandung dalam teks, menyusun perkara-perkara tersebut mengikut turutan
yang bermula dengan titik tolak peristiwa, mengemukakan maklumat yang menyokong
perkara-perkara penting (anggapan antara sebab dan akibat) yang
memperkembangkan “higher-order thinking”.
Teknik penyelesaian masalah pula
satu teknik pengajaran yang bertujuan untuk memberi peluang dan ruang kepada
pelajar lebih produktif dan bertukar pandangan dalam usaha untuk menyelesaikan
persoalan yang dikemukakan kepada mereka. Teknik ini boleh digunakan bagi
merancang langkah-langkah dengan sistematik secara kolaboratif untuk menghadapi
dan mengatasi cabaran ke arah pencapaian matlamat yang telah ditetapkan.
Terdapat beberapa langkah yang perlu diberikan perhatian ketika melaksanakan
teknik penyelesaian masalah dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah.
Antaranya, mengenal pasti matlamat yang diingini dan matlamat tersebut mestilah
jelas, mengenal pasti cabaran-cabaran yang akan dihadapi sebelum pencapaian
matlamat yang telah ditetapkan, mencadangkan langkah-langkah yang boleh diambil
untuk mengatasi cabaran dan menyusun langkah-langkah untuk mengatasi cabaran
mengikut keutamaan.
Selain menggunakan teknik
tersebut, guru-guru juga boleh mengubah suai teknik-teknik yang sedia ada
kepada suatu teknik yang lebih kreatif. Contohnya dalam menggunakan pendekatan
penyelesaian masalah, guru boleh menggantikan pemberian masalah secara formal
kepada mengenalpasti masalah dalam pantun teka-teki (lihat lampiran). Para
pelajar perlu menyelesaikan masalah teka-teki tersebut. Seterusnya guru akan
membimbing pelajar mendalami persoalan teka teki tersebut dan mengadakan sesi
perbincangan. Dengan itu, para pelajar akan lebih faham dan berminat dengan
pelajaran mereka. Dalam pada itu, pengaplikasian teknik permainan dalam sesi
pembelajaran juga boleh menjadikan proses P&P menjadi lebih menarik.
Contohnya mengaplikasikan teknik permainan poker dalam proses pembelajaran
koperatif. Teknik ini mengkehendaki guru menyuruh pelajar membentuk kumpulan
kecil seramai empat orang dengan satu set kad poker. Set poker dibahagikan
kepada dua bahagian iaitu bahagian yang mengandungi soalan dan bahagian yang
mengandungi jawapan. Kad yang mengandungi soalan dipilih dan dicabut terlebih
dahulu oleh pelajar sebelum memulakan permainan (prinsip terbuka). pelajar akan
mencabut set kad yang mengandungi jawapan secara bergilir. Kad jawapan yang
tepat akan disimpan oleh pelajar manakala kad yang mempunyai jawapan yang tidak
tepat akan diletakkan semula pada kad di bahagian bawah sekali. Setelah berjaya
memadankan kad-kad soalan dengan kad-kad jawapan, pelajar perlu membuat
analisis atau deskripsi atas jawapan tersebut. Setelah itu, semua laporan
diselesaikan, atau setelah masa yang diperuntukkan telah tamat, setiap pelajar
hendaklah berkongsi laporan mereka dengan pelajar-pelajar yang lain. Laporan
yang dikongsi akan dilanjutkan dengan penambahbaikkan oleh pelajar-pelajar
disertai dengan pendapat dan bukti dengan dibantu oleh guru. Selepas itu
pelajar membuat kesimpulan setelah mendapat penjelasan daripada guru. Walau
apapun kaedah atau teknik yang digunakan oleh guru dalam proses P&P,
perkara yang paling penting adalah kesediaan dan kekreatifan guru itu sendiri
dalam mengenal pasti kehendak dan kebolehan pelajar, suasana bilik darjah dan
beberapa faktor lain. Hal ini bukan sahaja memerlukan usaha yang gigih daripada
kalangan guru-guru bahkan juga memerlukan pengorbanan masa dan tenaga dalam
memastikan kesesuaian kaedah dalam bilik darjah.
ALAT BANTUAN MENGAJAR
Alat bantuan mengajar (ABM)
merupakan satu lagi faktor penting yang perlu diambil kira dalam ketika proses pengajaran
dan pembelajaran. Charles B. Klasek menjelaskan bahawa pengajaran yang
bersistematik adalah guru yang dapat menggabungkan penggunaan media dan
bahan-bahan pengajarannya. Wilkinson dalam strategi pengajaran sejarah KBSM,
menyenaraikan sembilan sumbangan media pendidikan kepada proses pembelajaran.
Penggunaan alat bantuan mengajar menurut William dapat memberikan latar
belakang pengetahuan dan pengalaman kepada pelajar dalam membantu aktiviti
pembelajaran dan memahami konsep-konsep sesuatu subjek. Selain itu, penggunaan
ABM juga dapat menggalakkan minat pelajar, dapat mendalam serta memberi makna
kepada pembelajaran, dapat memberi pengalaman-pemgalaman yang bermakna di
samping dapat mengembangkan kemahiran komunikasi pelajar. Selain itu, ia juga dapat
meningkatkan pengekalan pembelajaran, dapat menggalakkan pembacaan dan
penyelidikan dalam kalangan pelajar dan juga dapat memberi kesan ekonomi masa
dalam pembelajaran. Para pelajar yang kurang pandai juga dapat dibantu dan
meningkatkan kefahaman mereka melalui pengginaan alat ini.
Terdapat beberapa jenis alat
bantuan mengajar yang boleh digunakan dalam proses P&P. Antaranya bahan
bergambar dan grafik seperti penggunaan fotograf, carta-carta, poster, poskad
dan glob, alat pandang tayang seperti transparensi, slaid, dan filem jalur,
alat dengar seperti radio dan pita rakaman dan alat pandang dengar seperti
televisyen dan filem. Selain itu, bahan-bahan sumber sejarah seperti artifak,
dokumen sejarah dan tinggalan arkeologi turut sesuai digunakan semasa pengajaran.
Walaupun terdapat banyak alat
bantuan mengajar yang boleh digunakan semasa mengajar, guru tidak seharusnya
lupa akan perlunya memilih alat-alat yang sesuai dengan setiap topik yang
diajar. Alat yang dipilih mestilah menepati dengan objektif pelajaran. Perkara
ini penting dalam mencapai tujuan khusus. Contohnya guru boleh menggunakan
gambar dan tayangan bagi menambah kefahaman pelajar terhadap sesuatu topik yang
diajar. Selain itu, guru juga perlu menentukan kesesuaian alat yang dipilih dan
mengkaji dahulu minat pelajar dalam sesuatu bilik darjah. Hal ini demikian
bertujuan menarik perhatian pelajar dan menjadikan sesuatu sesi P&P itu
seronok dan pelajar dapat memahaminya dengan mudah. Dalam pada itu, guru juga
perlu melihat tahap kebolehan pelajar. Perkara ini penting untuk menentukan
kesesuaian bahan yang dipilih dengan tahap pemikiran pelajar. Contohnya dalam
mengajar pelajar yang pandai, guru hanya boleh menggunakan ABM yang ringkas
sahaja seperti penggunaan slaid dan jadual. Selain itu juga, guru perlu peka
dengan faktor masa dan gerak kerja susulan. Penggunaan alat haruslah
disesuaikan dengan masa mengajar. Guru juga perlu menjadi lebih kreatif dengan
melibatkan aktiviti lain dengan hanya menggunakan satu ABM. Hal ini demikian
penting dalam membantu guru menjimatkan kos dan masa untuk menyiapkan sesuatu
ABM itu.
KESIMPULAN
Sejarah merupakan satu mata
pelajaran yang penting. Hal ini demikian kerana pengajaran sejarah mampu
membentuk jiwa, akhlak dan jati diri bangsa khususnya dalam memupuk semangat
patriotisme. Sungguhpun begitu, pengajaran dan pembelajaran subjek ini memerlukan
penghayatan dan minat bagi menimbulkan konsep kesedaran atau celik dalam
sejarah. Oleh yang demikian, peranan guru amatlah ditagih dalam mewujudkan
suasana pembelajaran yang menarik dan mampu membawa pelajar menghayati
peristiwa sejarah itu seperti yang sebenarnya. Guru yang kreatif dapat
mempengaruhi tahap kesedaran pelajar. Jadi, penggunaan pelbagai teknik, alat
bantu mengajar, dan minat guru sejarah itu sendiri merupakan nadi penggerak
pada kejayaan tersebut.
Hasil tugasan saya dengan rakan
Muhd Nor Shamsul Bahari Bin Sikandar
LSP 1053: KURIKULUM PENDIDIKAN
SEJARAH
UPSI 07
BIBLIOGRAFI
Abd. Aziz Abd. Talib (2000).
Pedagogi Bahasa Melayu: Prinsip, Kaedah dan Teknik.
Kuala Lumpur: Utusan Publication
dan Distribution Sdn. Bhd.
Abdul Rahim Abdul Rashid, 2000.
Panduan Latihan Mengajar, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abd. Rahim Abd. Rashid (1989).
Strategi Pengajaran Sejarah KBSM. Petaling Jaya:
Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Ahonen, S. (2001). Politik of
Identity through history curriculum: narratives of the past
for social exclusion-or
inclusion? Dalam Journal of Curriculum Studies, 33(2),
179-194.
Anhar Gonggong. Suara Merdeka, 23
Jun 2005.
Ariffin Ba,ada (1991). Penerapan
nilai-nilai merentas kurikulum – ke arah melahirkan
generasi yang harmonis dalam
jurnal pendidikan, 35(75), 41-48.
Deliman, A. (2005). Perspektif
Materi Pendidikan Sejarah Yang Ideal, Socio, Vol. I, Nomor 1, Yogyakarta:
HISPISI dan FIS UNY.
Dyah Kumalasari (2005). Sejarah
dan Problematika pendidikan dalam Historia Edisi Pertama 7-22.
Gde Widja (1990). Dasar-dasar
Pengembangan Strategi Serta Metode Pengajaran Sejarah Edisi Pertama. Jakarta:
Depdikbud.
Idrus A. Rore. Metode Poker Suatu
Alternatif Pengembangan Daya Tarik Pelajaran Sejarah. Diperoleh pada Februari
3, 2008 daripada http://www.geocities.com/
konferensinasionalsejarah/idrus_a_rore_s_pd.pdf.
Jamizal Zainol (2008). Slogan
membantutkan pemikiran. Diperoleh pada Februari 11, 2008 daripada
http://Jamizalzainol.wordpress.com/2008/01/07/slogan
membantutkan-pemikiran/.
Kamarudin Hj. Husin & Siti
Hajar Hj. Abd. Aziz (2003). Pedagogi Untuk Asas Pendidikan. Kuala Lumpur:
Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Khaw Poh Seng, 2001. Kemahiran
Berfikir dan Berkomunikasi TOC;Satu Teknik Pengajaran dan Pembelajaran
Kemahiran Berfikir dan Penyelesaian Masalah,
Kuala Lumpur, Pusat Perkembangan
Kurikulum.
Md. Nasir B. Masran. Membina
Komuniti Pemikir Sejarah dalam Bilik Darjah. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan
Sultan Idris.
Shaharuddin Basri Ibrahim, Chan
Lee Chiun dan Muslimin Fadzil (2004). Penggunaan buku teks secara berkesan
dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah untuk murid berprestasi rendah di
peringkat sekolah menengah. Diperoleh pada Februari 11, 2008 daripada
myschoolnet.ppk.kpm.my/bhn_pnp/bs_sejarah/bs_kbsm_sej3.
Pdf.
Sirkka Ahonen (2001). The Past,
History and Education dalam journal of Curriculum
Studies 33 (6), 737-751.
Soedjatmoko (1976). Kesadaran
Sejarah dalam Pembangunan, Prisma, Edisi ketujuh. Jakarta: LP3ES.
Sanusi (1992). Fungsi Pengajaran
Sejarah Sebagai Ilmu. Jakarta: Universitas Indonesia.
Sukatan Pelajaran Sejarah
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (2000). Pusat Perkembangan Kurikulum:
Kementerian Pendidikan Malaysia.
Winarno Soerachmad (1978).
Metodologi Pengajaran Nasional Edisi Pertama. Jakarta: Jenmars.
Website TOC for Educations di
peroleh pada Mac 14 2008 :http://www.tocforeducation.com
Yoyok Susatyo dan Ady Soejoto,
(2005). Efektivitas Hasil Belajar Mata Kuliah Pengantar Ilmu Ekonomi Program
S1. Pendidikan Ekonomi Jurusan Ekonomi Melalui Pembelajaran Langsung dalam
Jurnal Studi Sosial (JSS). Vol.1. No.1. 89-101.